Wednesday, 1 January 2014

dorongan daripada seorang ayah kepada anaknya untuk jadi seorang pelumba motocross yang berjaya :)



ASSALAMUALAIKUM W.B.T kepada sahabat sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga, kawan-kawan dan kepada anda juga yang sudi membaca blog saya yang tak seberapa ini. syukur ALHAMDULILLAH kerana Allah S.W.T masih memberikan kita peluang untuk teruskan hidup di jalan Allah. marilah kita bersama-sama memanjatkan syukur kepada Allah S.W.T kerana setiap nikmat yang Allah berikan perlulah mengucapkan syukur kepada-Nya. 


الحمد لله

Di sini saya ingin membuat perkongsian pengalaman saya kepada anda bagaimana saya terlibat dalam sukan permotoran. Disebalik watak "Aku, Dia & Motocross" itu adalah antara saya, ayah dan motocross kerana ayahlah yang memberi dorongan kepada saya untuk terlibat dalam aktiviti sukan lasak tersebut. sebelum itu saya ingin memperkenalkan ayah saya dahulu.



Ini adalah ayah saya. Nama diberi Mohd Hasne Bin Abdul Hamid. Tarikh lahir 14 Ogos 1965. Dia adalah seorang ayah yang sangat hebat dan berani. ayah juga adalah seorang bekas pelumba motocross dan sekarang ayah telah memberi tunjuk ajar kepada saya dan menggalakkan saya untuk menjadi seorang pelumba motocross. Motorsikal di dalam gambar tersebut juga pernah dipakai oleh ayah saya iaitu model Kawasaki KLX 150 kuasa kuda bertayar Offroad, bersiri 2010. selepas itu, ayah pula yang memberikan saya motorsikal itu untuk membuat latihan di tempat biasa saya membuat latihan iaitu litar Angsana di Johor Bahru.

Sejak saya masih kecil lagi ayah telah membawa saya untuk menyaksikan pertandingan perlumbaan motocross di berhampiran rumah saya. Pada masa itu, zaman kegemilangan Zakaria Mori dan Zakaria Keliwon, mereka ini sangat handal dalam perlumbaan motocross. Saya amat berminat terhadap sukan permotoran sejak saya kecil lagi dan saya bercita-cita untuk menjadi seorang pelumba motocross. 

Bermulanya saya terlibat dalam sukan permotoran adalah pada tahun 2011 iaitu masa saya tingkatan 5. Pada tahun 2010 ayah saya dahulu yang terlibat dalam aktiviti motocross, banyak tempat yang saya pergi bersama-sama dengan ayah untuk menyaksikan pertandingan. Ayah mempunyai kelab motocross sendiri iaitu TRS(Team RhinoceroS Johore).



Dan selepas itu ayah pula memberi motor itu kepada saya untuk terlibat sama dalam aktiviti motocross di bawah kelas TRS. Pada masa itu, saya amat gembira kerana dapat peluang untuk terlibat dalam sukan permotoran atas dorongan ayah. 

Setelah mendapat dorongan daripada ayah, bermulalah latihan motocross di litar Angsana yang diajar oleh ayah saya sendiri.



Inilah kali pertama saya menunggang motor tersebut di dalam litar. Pada mulanya saya agak takut juga tetapi ayah cuba untuk memberikan saya semangat untuk menjadi berani. Bila di dalam litar saya akan cuba untuk menjadi berani seperti ayah. Banyak yang ditunjuk ajar oleh ayah saya apabila di dalam litar dan saya amat hargai atas tunjuk ajar dari ayah. selepas itu saya semakin giat dalam latihan. Dari situ saya ramai mendapat kawan yang terlibat sama dalam sukan permotoran dan mereka juga banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.

Perlumbaan saya yang pertama ialah di Felda Taib Andak, Kulai, Johor Bahru kategori CKD 150 pada tarikh 3.3.2012 & 4.3.2012. Pertandingan tersebut amat menggerunkan saya kerana itulah pertama kali saya memasuki pertandingan motocross dan seramai 14 peserta yang terlibat termasuk saya di dalam kategori CKD 150. Nombor motor saya ialah 89 yang dipilih oleh ayah saya sendiri. Pertandingan tersebut saya mendapat tempat ke-8.





Perlumbaan kedua saya pula ialah di Litar Angsana,Johor Bahru kategori CKD 150 iaitu pada tarikh 19.5.2012 & 20.5.2012. Litar inilah di mana saya biasa membuat latihan motocross bersama ayah. Pada masa inilah saya ingin membuktikan kepada ayah bahawa saya boleh lakukan untuk pertandingan kali kedua ini dan ingin membalas jasa baik ayah kepada saya. 2 minggu sebelum pertandingan, hari-hari saya pergi ke litar Angsana untuk membuat latihan untuk meningkatkan kemahiran dan stamina saya sebagai persediaan untuk pertandingan itu nanti. 

Semakin hari semakin biasa dengan litar itu tersebut berlalulah 2 minggu dan bermulalah pertandingan Iskandar Johor Motocross & Cub Cross Angsana Johor 2012 yang dianjurkan oleh Kelab Belia 1Malaysia pada hari sabtu dan ahad iaitu bertarikh 19.5.2012 & 20.5.2012. Seramai 19 peserta CKD 150 terlibat dalam pertandingan tersebut. 





Seperti biasa saya dan ahli-ahli kelab TRS juga turut terlibat dalam pertandingan motocross. Tetapi hanya ayah saya sahaja yang tiada pada hari tersebut kerana ada urusan luar, ayah hanya memberikan kata-kata semangat sahaja kepada saya apabila dalam perlumbaan. 

Lepas Waktu Zohor pada hari sabtu bermulalah perlumbaan motocross kategori CKD dan kesemua peserta perlu membuat persediaan di tempat permulaan atau lebih dikenali "starting gate" untuk melepaskan kesemua penunggang motocross.





Masa yang diberi untuk penunggang motocross menamatkan perlumbaan adalah 15 minit selepas tamatnya 15 minit diberikan tambahan 2 pusingan untuk menghabiskannya. Di starting gate pula, untuk melepaskan penunggang adalah 15 saat. Selepas itu bermulalah pelepasan kesemua penunggang motocross !







Setelah tamatnya perlumbaan pada hari sabtu saya amat bersyukur kerana saya dapat tempat ke-4 daripada 19 peserta. Pada masa ini, saya amat seronok kerana dapat bersaing dengan pelumba berpengelaman.

Keesokan harinya ialah hari ahad iaitu perlumbaan terakhir untuk kali yang kedua bermula pada waktu pagi. Perlumbaan inilah saya ingin membuat bersungguh-sungguh untuk mendapat top 5. Seperti biasa kesemua peserta perlu membuat persiapan di starting gate untuk membuat pelepasan. Setelah itu kesemua penunggang telah dilepaskan dan perlumbaan pun bermula !





Tetapi selepas dilepaskan terjadilah satu perlanggaran yang tak dapat dielakkan. Kesemua peserta sudah berada di hadapan. Untuk mengejar mereka mengambil masa yang agak lama. Tidak lama kemudian terdengarlah satu suara menjerit kepada saya, saya memandang ke arah suara itu tersebut dan melihat seseorang itu ialah ayah saya yang berada di luar litar yang sedang memberi semangat kepada saya untuk terus bangkit. Apabila diberikan semangat oleh ayah, saya terus bangun dan mengejar mereka yang berada di hadapan saya. 




Syukur Alhamdulillah dengan berkat sokongan daripada ayah saya mendapat tempat ke-3 pada hari tersebut. Saya amat gembira kerana ayah datang untuk melihat saya berlumba dan dapat membuktikan kepada ayah bahawa saya boleh lakukan. Setelah tamatnya perlumbaan, ayah dan kawan-kawan menghampiri saya untuk memeluk saya dan ayah berkata "abah sayang anak abah". Saya amat gembira apabila melihat ayah gembira dengan apa yang saya telah lakukan.

Setelah tamatnya perlumbaan motocross, para juri membuat pengiraan markah kesemua peserta antara sabtu dan ahad. Setiap kedudukan ada markahnya yang tersendiri. Tidak lama kemudian, para juri menyuruh kesemua peserta untuk berada di hadapan pentas ataupun podium untuk memberikan hadiah kemenangan. Pelumba yang mendapat top-5 sahaja yang layak mendapat hadiah yang disediakan oleh Kelab Belia 1Malaysia. 

Setelah peserta kedua,ketiga,keempat dan kelima telah menaiki podium, hanya tinggal peserta pertama sahaja yang belum dipanggil. tidak lama kemudian, saya terkejut kerana nama saya dipanggil untuk mengambil hadiah kemenangan sebagai JOHAN dalam perlumbaan motocross. Ayah dan kawan-kawan memberi tepukan yang gemuruh kepada saya dan saya amat gembira pada masa itu. Hadiah yang diberikan untuk johan adalah piala dan wang bernilai RM400.






sebelah kiri saya itu adalah ayah saya.. :)



Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memurahkan rezeki kepada saya untuk jadi seorang juara motocross. Terima kasih kepada ayah kerana sokongan dan tunjuk ajarnya dapat saya lakukan yang terbaik untuk ayah dan terima kasih juga kepada kawan-kawan motocross kerana memberikan tunjuk ajar yang sangat berguna untuk saya. Inilah kenangan yang tidak dapat saya lupakan kerana dengan pengalaman inilah saya dapat belajar untuk menjadi seorang yang berani seperti ayah. Terima Kasih Ayah, TANPA AYAH, SIAPALAH SAYA. :)

Sebelum penutupnya cerita saya ini, saya ingin menunjukkan satu video yang dirakamkan oleh kawan saya semasa pertandingan Iskandar Johor Motocross & Cub Cross Angsana Johor 2012. Semoga anda terhibur. SEKIAN, TERIMA KASIH ! :)



No comments:

Post a Comment